Memaparkan catatan dengan label kapitalisme. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kapitalisme. Papar semua catatan

Rabu, 29 April 2009

MENGENAL KAPITALISMA GLOBAL

GLOBALISASI MODAL

PUTRAJAYA 22 April - Kerajaan hari ini memutuskan untuk meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan. Ini bermakna syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan tidak lagi terpakai.Mengumumkan perkara itu di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, subsektor yang diliberalisasikan itu adalah dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan. Kata beliau, liberalisasi sektor perkhidmatan bertujuan membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. – DI PUNGUT DARI UTUSAN MELAYU

Minggu ini kita terbaca bagaimana Najib Razak terpaksa membuka lagi pasaran Malaysia kepada syarikat multinasional. Kaum pemodal luar negara kini dibenarkan membawa masuk modal untuk melabor dalam 27 subsektor termasuk juga bank dan hospital. Kalau dulu pelaboran luar hanya dibenarkan memiliki kepentingan pelaboran tidak lebih dari 30% kini dinding dan atap itu telah diruntuh.

Ini buktinya bagaimana perancangan kapitalisma global telah berjaya untuk memindahkan harta kekayaan rakyat dari Asia, Afrika dan Amerika Latin ke saku para banker dan pemodal Anglo-Amerika. Inilah buktinya bagaimana dasar pasaran terbuka dapat menerbus masuk ke dalam Dunia Ketiga.

Hujah memberi peluang pekerjaan selalu digunakan sebagai khidmat yang akan kita terima jika kaum pemodal antarabangsa ini masuk melabor. Kapitalis antarabangsa ini juga dikatakan akan membawa modal. Apakah ini betul ? Untuk memahami mari kita melihat dan memahami kembali apa itu duit dan apa itu modal.

Seperti yang telah saya terangkan dahulu duit yang kita gunakan ini adalah fiat money - kertas yang nilainya dipaksakan ke atas kita. Kertas ini dipaksakan ke atas kita kerana kita terikat dalam sistem kapitalis global. Kita menjerut leher kita dengan menerima dasar Bank Dunia, International Monetary Fund ( IMF) dan World Trade Organisation.

Dasar yang diajukan oleh lembaga-lembaga ini tidak pernah berniat untuk membantu kita. Tugas kapitalisma bukan membantu umat manusia tetapi membuat untung. Tidak ada orang yang memulakan satu perniagaan dengan tujuan untuk membantu. Kapitalisma bukan badan amal seperti Food Not Bomb.

Kita selalu mendengar bahawa banyak kilang ditutup di Singapura, Pulau Pinang atau Thailand kerana berpindah ke China atau Vietnam. Kenapa? Kerana upah buruh lebih murah di sana. Inilah buktinya bahawa kapitalisma bukan datang untuk membantu tetapi mencari untung. Jadi hujah mengatakan modal luar membuka peluang pekerjaan terbukti satu dongeng.

Dari mana modal datang? Modal ialah tenaga manusia. Justeru tidak munasabah jika kita katakan Malaysia tidak memiliki modal. Ini bohong. Di Malaysia ada lebih dari 20 juta warga – semua ini adalah modal. Apabila politikus mengatakan kita tidak memiliki modal atau dana – apa yang dimaksudkan ialah kita tidak memiliki kertas dolar.

Juga jangan lupa - keuntungan yang dibuat oleh kaum pemodal antrabangsa akan dibawa pulang ke negara masing-masing. Yang dibawa pulang itu ialah modal. Inilah sebab utama kenapa negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin terus menjadi miskin. Tenaga yang dicurahkan oleh warga dihisap oleh lintah-lintah darat ini.

Kerana kita tidak memiliki kertas dolar maka kerajaan kita ke hulu ke hilar meminjam dari Bank Dunia, IMF, bank-bank dari Eropah atau negara menjual bond. Ertinya kita meminjam duit dari para banker dan pelabur dari luar negara. Mereka sedia meminjamkan kepada kita untuk mendapat untung buta melalui bunga dan riba.

Mari kita lihat satu contoh sejarah yang berlaku di zaman Perang Saudara ( 1861-1865) di Amerika Syarikat. Ketika itu Presiden Abraham Lincoln cukup terdesak. Presiden Lincoln mungkin terpaksa meminjam duit dari para banker di Eropah yang amat bersedia meminjamkan duit dengan riba dan bunga yang tinggi.

Lincoln telah dinasehatkan untuk mencetak duit sendiri agar dapat membebaskan diri dari lintah darat para banker yang sedang memasang lukah di Pasar Selayang. Sebanyak 450 juta dolar - yang dipanggil greenbacks - telah dicetak. Wang ini berjaya membantu Lincoln membayar hutang piutang negara. Amerika di zamam Lincoln telah bebas dari berhutang dengan para banker dari Eropah. Dari segi sejarah ketika Lincoln menjadi Presiden ekonomi Amerika berkembang permai.

Ringgit yang kita gunakan hari ini dinilaikan dengan bandingan kertas dolar. Tetapi kertas dolar yang menilai ringgit ini pada hakikatnya tidak memiliki apa-apa nilai. Majoriti warga Malaysia hanya memiliki nilai keyakinan untuk menjalankan pertukaran melalui ringgit. Kertas ringgit ini bertujuan untuk menyenangkan kita berjual beli tidak lebih dari itu. Kertas ringgit ini juga adalah fiat money yang tidak berasaskan emas atau perak. Ia hanya berasaskan keyakinan warga Malaysia.

Justeru jika sesebuah negara dapat membebaskan dari belenggu kertas dolar maka negara itu boleh mencetak duit mereka sendiri – seperti yang telah dilakukan oleh Abraham Lincoln. Jika negara mencetak duit sendiri maka negara tidak akan memiliki masalah hutang. Kita mencetak kertas ringgit kita sendiri tanpa merujuk kepada Bank Dunia atau IMF. Atau meminjam dari mereka.

Saya yakin warga akan menerima pakai kertas ringgit yang kita cetak untuk kita bersama membangunkan negara. Tidak timbul masalah negara tidak memiliki modal. Tidak timbul masalah negara tidak ada dana. Kenapa kita menjadi bodoh meminjam kertas dolar dari IMF atau Bank Dunia atau menyimpan dolar sebagai duit simpanan negara walhal kertas dolar ini juga tidak bersandarkan emas atau perak. Nilainya dipaksakan ke atas kita.

Amat jelas - Bank Dunia, World Bank dan IMF adalah lembaga kapitalis yang menjual kertas kosong kepada kita. Kenapa kita membeli kertas kosong dengan harga yang mahal walhal kita boleh membuat kertas itu sendiri.

Apa yang saya katakan ini kelihatan cukup enteng. Lalu timbul persoalan – kalau bagini senang kenapa kerajaan tidak melakukan sesuatu? Jawabnya juga cukup enteng – kerajaan Malaysia hari ini sedang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Negara kita terikat dalam satu sistem kapitalis global.

Perangkap kapitalis global ini telah dipasang oleh kabal Illuminati untuk kepentingan para banker seperti Rockefeller dan Rothschild telah memerangkap kita. Pemimpin politik kita tahu jika mereka cuba membebaskan diri dari sistem kapitalis global ini maka mereka akan dijatuhkan.

Sejarah menunjukkan bahawa United Malays National Organisation ini dinaikkan oleh penjajah British melalui Tunku kerana gerombolan ini tidak akan melawan atau menentang kepentingan kaum pemodal Anglo-Amerika. Gerombolan ini dipilih oleh British kerana mereka akan menjaga kepentingan kaum pemodal melalui seribu satu macam undang-undang yang bukan bertujuan menjaga kepentingan kaum pekerja dan buruh tetapi menjaga kepentingan kaum pemodal.

Hanya sebuah kerajaan rakyat yang berpaksikan kekuatan rakyat sahaja yang dapat membebaskan diri dari belenggu kapitalis global. Satu ketika dahulu Indonesia dibawah pimpinan arwah Bung Karno adalah contohnya. Iran di bawah pimpinan arwah Mussadigh satu lagi contoh.

Hari ini contoh terdekat ialah Cuba yang dipimpin oleh Castro, Korea Utara yang dipimpin oleh Kim Jong-il , Venuzuela di bawah Chavez dan Iran di bawah Ahmadinejad – adalah negara-negara yang cuba membebaskan dari sistem kapitalis global. Lihatlah berapa banyak konspirasi dan propaganda telah, sedang dan akan dilakukan untuk merobohkan benteng ekonomi negara-negara ini. Modal global melihat negara-negara yang ekonominya berdiri bebas sebagai musuh mereka.

Lalu persoalan timbul kenapa kita semua tidak melakukan sesuatu dan membiarkan diri kita terus ditipu bulat-bulat untuk sekian lama?

Sesiapa yang berani mengeluarkan soalan seperti ini maka susuk ini adalah susuk yang memiliki fikrah merdeka. Susuk ini berfikiran progresif kerana ingin membebaskan diri dari belenggu kapitalisma. Susuk-susuk yang sedar dan tidak mahu ditipu oleh kertas dolar. Jika semakin ramai yang menimbulkan soalan ini ada kemungkinan Malaysia negara kita ini akan menuju ke zaman pencerahan. (TT)

( Tulisan ini boleh diambil untuk kegunaan membuat kebaikan )

Tulisan diambil di blog pengarang http://tukartiub.blogspot.com/

Rabu, 22 April 2009

MENGENAL KAPITALISMA

KEDAULATAN DAN GLOBALISASI


Lupakan kedaulatan Sultan Perak. Lupakan kedaulatan Raja-Raja. Semua ini adalah ciput. Semua kedaulatan ini tidak akan diambil kira dalam agenda globalisasi yang sedang berjalan hari ini. Semua Tan Seri, Tan Tun, Mak Datin , Pak Haji, Ayatollah, Padri, Sami, Rabbai atau apa sahaja bentuk manusia semuanya menjadi ciput dalam agenda baru yang sedang berjalan hari ini.

Tuhan baru telah muncul. Tuhan yang dibawa oleh sistem kapitalis. Tidak percaya? Sila renung dan periksa diri sendiri. Sistem ekonomi kapitalis telah menjadikan manusia berebut-rebut untuk mengumpul harta. Sistem ekonomi kapitalis telah melahirkan satu budaya dimana umat manusia dalam dunia ini terlupa dan terlalai bahawa kita hanyalsh bertransit di atas muka bumi ini.

Budaya kapitalis ini telah mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Manusia moden kurun ke 21 telah dilalaikan untuk menjadi binatang konsumer yang mengguna dan mengumpulkan pelbagai ‘biji-biji saga’ dan barangan kodi untuk mainan. Manusia moden telah menjadi seperti Toyol yang asyik bermain dengan biji-biji saga hingga terlupa bahawa tujuan hidup ini adalah untuk mengenal diri sendiri dan melakukan kebaikan.

Sistem kapitalis telah membawa satu budaya dimana ianya mengasak, meraba dan merangsang sifat jahat dalam diri manusia. Hukum induk ekonomi kapitalis - keuntungan maksima – telah melupuskan nilai baik yang sedia wujud dalam diri manusia.

Justeru apakah kita hairan apabila kita terbaca dalam akhbar bagaimana pembekal susu tepong di Tanah Besar China telah membubuh malamin dalam tepong untuk dijual sebagai susu. Mereka menjual susu ini bukan kepada orang Sweden tetapi kepada bayi-bayi China sanak saudara mereka sendiri.

Justeru apakah kita hairan apabila kita membaca berita di Sepanyol dan Portugal ada pembekal minyak zaiton telah membubuh minyak hitam yang sudah terpakai untuk dijual sebagai campuran minyak zaiton.

Justeru apakah kita hairan apabila membaca bagaimana kontrektor Bumiputera yang bersunat dan selalu naik umrah telah membuat bangunan sekolah, bilik makmal dan hospital dengan menggunakan barangan tidak berkualiti dan akhirnya bangunan-bangunan ini runtuh rantah.

Semua ini dilakukan kerana mereka hidup mengikut hukum dan budaya kapitalisma. Keuntungan maksima adalah tuhan baru yang sedang disembah. Selama 30 tahun kebelakangan ini tuhan baru ini telah muncul dimerata pelusuk dunia. Tuhan ini akan berada dimana sahaja wujudnya sistem ekonomi kapitalis termasuk di Malaysia.

Tiga puluh tahun dahulu – air, api, jalan raya, hospital, bank, sekolah, universiti, talipon, radio, tv – semua ini adalah milik kita bersama. Semua ini adalah hak milik negara bermakna hak milik orang ramai. Tiba-tiba harta orang ramai ini diswastakan.

Siapa sebenarnya yang menelorkan dan mencadangkan dasar penswastaan ini. Dasar ini dimunculkan oleh pemikir kabal-kabal Illuminati. Para pemikir dari pelbagai ‘think tank’ ini yang telah mengajukan agenda penswastaan kepada Bank Dunia dan IMF sebagai satu usaha untuk apa yang mereka panggil – cara untuk memperbaiki dan mengembangkan ekonomi di negara-negara sedang membangun.

IMF dan Bank Dunia menjadikan penswastaan ini sebagai dasar untuk diterima pakai. Negara Dunia Ketiga yang miskin jika ingin meminjam dana dari bank-bank antarabangsa diwajibkan menjalankan dasar penswastaan. Penswataan bermakna menjualkan harta hak milik orang ramai kepada kaum kapitalis antrabangsa.

Di belakang dasar penswastaan ini ialah para banker dari kabal Illuminati. Para banker yang telah mengumpulkan berbilon kertas dolar memerlukan pasarana pelaboran baru. Hukum ekonomi kapitalis mewajibkan kaum pemodal terus mencari pasaran baru. Di Eropah Barat pasaran telah tepu. Maka kabal Illuminati telah mengarahkan Bank Dunia dan IMF memaksa dibuka seluas mungkin pasaran di negara Dunia Ketiga. Hasilnya kita melihat harta negara kita –air, talipon, tv, jalan raya, hospital, bangunan, bank – semuanya bertukar tangan.

Apabila Perang Dingin tamat lihat apa yang telah terjadi kepada Russia dan Eropah Timur. Negara-negara ini sedang mengamalkan sistem ekonomi sosialis telah diasak dan di serang. Russia telah dipecah-pecahkan. Perang telah dicetuskan di Bosnia, di Kosovo, di Montenegro dan di Chechen – semua ini adalah perancangan licik untuk memaksa harta rakyat di Eropah Timur di jual kepada kaum pemodal antrabangsa.

Sesudah dasar penswastaan di terima pakai – kita mula terdengar apa yang dikatakan - Dunia Tanpa Sempadan. Dunia tanpa sempadan ini ialah agenda Illiminati untuk melupuskan kedaulatan negara. Dunia tanpa sempadan bukan bererti orang Afrika boleh senang-senang masuk ke Eropah. Dunia tanpa sempadan bukan bererti buruh rakyat Pakistan boleh masuk ke Jepun untuk mencari kerja.

Tanpa sempadan hanyalah untuk duit modal masuk ke mana sahaja untuk mencari untung. Modal antarabangsa ini tidak boleh diganggu gugat ketika modal ini sedang mencari keuntungan maksima dimana sahaja dalam dunia ini. Dunia tanpa sempadan ialah untuk para pelaboran antarbangsa bermain ‘tikam dan berjudi’ di pasaran saham negara-negara Dunia Ketiga. Lihat apa yang berlaku di Asia Tenggara pada tahun 1997 dahulu. Lihat bagaimana kaum kapitalis antarabangsa telah menerbus masuk dan menekan negara-negara Asia Tenggara dan akhirnya banyak hospital kita terjual, talipon kita terjual, sistem pendidikan kita terjual.

Lihat Tesco, Carrefour, Giant, Court Mamoth, AIA, ING, Ikea, Burger King, MacDogal, Shell, Esso – semua ini adalah milik pemodal antarabangsa. Semua ini dipaksakan ke atas pasaran kita melalui perjanjian World Trade Organisation (WTO). WTO memaksa negara Dunia Ketiga membuka pasaran untuk pemodal antarabangsa masuk mencari untung.

Perjanjian WTO ini adalah perjanjian terbuka yang berat sebelah – sama seperti perjanjian-perjanjian East India Company yang telah dibuat oleh Sultan Johor dengan Raffles pada tahun 1819 dahulu. Sama seperti perjanjian Sultan Kedah dengan Francis Light pada tahun 1786. Sama seperti Perjanjian Pangkor 1874 yang akhirnya Tanah Melayu jatuh ke tangan British.

Dari zaman penjajah dahulu cita-cita kaum pemodal kapitalis ini untuk memiliki dunia ini tidak pernah padam-padam. Cita-cita kaum pemodal antarabangsa ini untuk menjadikan umat manusia sebagai hamba adalah manifesto New World Order. Kabal-kabal Illuminati saban hari merancang. Hari ini semua strateji telah di rancang. Semua telah di susun. Para banker di belakang Iluminati sedang dalam persediaan akhir untuk melahirkan apa yang mereka katakan – New World Order atau Dunia Bentuk Baru.

Lihatlah nanti bagaimana kabal-kabal Illuminati ini akan memaksa Malaysia untuk menanda tangani Free Trade Agreement. Dalam perjanjian ini tidak ada yang ‘free’. FTA ini akan memaska kita terus membuka semua pasaran negara kita untuk kaum pemodal antarabanga mencari keuntungan maksima.

New World Order ini adalah dunia baru dimana kedaulatan negara tidak wujud lagi. Rancangan NOW ini sedang diatur – Canada, Amerika dan Mexico telah disatukan – kemudian seluruh Selatan Amerika akan dijerut masuk. Eropah sedang bersatu – ini akan menjerut masuk Afrika dan Timur Tengah. Asia akan dikepali oleh Jepun yang akan menjerut semua negara di Asia.

Lihat sekarang telah wujud Asean dan Apec untuk Asia , African Union untuk Afrika dan Union of South American Nations untuk Amerika Latin. Semua ini adalah perancangan Illuminati. Semua ini direstui oleh kaum pemodal antarabangsa. Rancangan akhir mereka ialah untuk memastikan semua rakyat dunia ini akan tunduk kepada kuasa mereka.

Dalam masa yang tidak lama lagi manusia akan di cap dengan microchip. Tak percaya? Bukankah idea ini telah terkeluar dari mulut seorang pegawai polis Malaysia tiga tahun dahulu dan berita ini telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Microchip ini untuk bayi yang baru lahir – atas alasan untuk mengekori penjahat.

Tetapi hakikatnya microchip ini ialah untuk mengawal semua umat manusia agar tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis. Umat manusia akan taat bekerja dari jam 9 hingga 5 – bercuti Sabtu Ahad. Jika sopan dan tekun mereka akan dapat gaji untuk membeli kondo, ipod, kancil, kasut Prada, beg Luis Vuitton dan pelbagai jenis ‘biji-biji saga’ yang dijanjikan. Sila baca 1984 oleh George Orwell dan tonton filem Metropolis oleh Fritz Lang.

Ini bukan satu dongeng konspirasi. Ini bukan plot sebuah novel yang belum siap. Ini adalah hakikat politik dunia hari ini. Memahami politik dunia hari ini amat penting. Jika kita gagal untuk memahami garis dan strateji Illuminati maka kita tidak akan melawan. Jika tidak bangun melawan maka umat manusia dalam dunia ini akan dijadikan hamba abdi.
(TT)

( Tulisan ini boleh diambil untuk kegunaan membuat kebaikan )

Tulisan diambil di blog pengarang http://tukartiub.blogspot.com/