skip to main |
skip to sidebar
Dulu. Di tahun 1990 rasenye. Ketika Piala FA baru diperkenalkan. Ketika BMX masih menjadi kegilaan budak-budak. Ketika itu setiap malam aku mengaji Al-Quran di rumah Almarhum Pak Long di Ulu Kinta. Sehingga kini aku masih tidak tahu siapakah nama sebenar Pak Long. Semua orang memanggilnya Pak Long. Yang tua, yang muda. Semuanya.
Pak Long adalah individu yang cukup garang semasa mengajar, Rotan dan libasan antara medium pengajarannya. Masih diingat lagi, setiap kali ketika habis waktu pengajian, kami akan dibariskan dan diajar cara-cara berkawad. Tak kira berseluar atau berkain, lelaki atau perempuan, semua berkawad di dalam rumahnya. Oh ya, Pak Long merupakan bekas polis.
Rumahnya pula bersambung dengan kedai runcit yang diusahakan keluarganya. Keluarganya ketika itu bukanlah besar sangat. Hanya tinggal Mak Long (isteri keduanya), arwah anaknya dan Pak Long sendiri. Seingat aku, arwah anaknya juga adalah antara yang gila BMX. Setiap hari, Pak Long akan mengambil sendiri anak-anak muridnya menggunakan van beliau. Rumah/kedainya kini sudah tiada dan tapak rumah tersebut telah dijadikan Masjid Ulu Kinta.
Antara anak Pak Long yang terkenal (ketika bersama arwah bini pertamanya) ketika itu ialah aktress 90an - Nur Albaniah. Antara menantunya ialah pelakon Isma Alif. Tapi semua di atas, bukanlah perkara yang ingin aku ceritakan.
Yang ingin aku ceritakan ialah menurut Pak Long, ketika dia remaja, pemain Perak dan Malaysia yang terkenal ketika itu dipanggil Garuda. Tidak aku pasti siapa sosok yang digelar Garuda itu. Pada fikiran aku, mungkin pemain ini bermain di bahagian wing maka masyarakat menggelarkannya GARUDA. Sebelum terlupa, di malam pengajian, ketika Final Piala FA pertama sedang berlangsung, Pak Long meng”on”kan televisyen. Keputusan semasa pasukan Perak ketinggalan 0-2. Pak Long dengan selamber berkata yang pasukan Perak akan menang. Kami pun dihantar pulang. Esoknya kami bercuti…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan