Memaparkan catatan dengan label sastera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sastera. Papar semua catatan

Selasa, 18 Ogos 2009

Bintang Di Langit Zaman (Zulkifli dalam kenangan)

HANYA semalam baru dijulang kemenangan harum
direnggut mengejut ketika teman dan lawan merasa kagum
meninggalkan terkulai dua hati yang masih muda
untuk berteriak dan memanggil-manggil nama yang telah tiada.

Kematian! Kematian dari suatu kehidupan yang mulia
yang telah ditinggalkan, jadilah ia ukiran kenangan
bahawa di tanah ini seorang daripada lelaki berani
yang berdiri menjunjung keyakinan, dan berkata
Islam tidak pernah takut kepada apa saja
laksana dirinya dalam cahaya kebenaran yang dipeluknya.

Demikian maut telah bersabda pintu hidup pun tertutup
maka terbukalah lahad dan keranda seiring bersanding
di pelamin putih didindingi tanah-tanah yang dingin
dan para malaikat mengelilingi lalu merestui.

Begitu pendek nafas ini berdetik dalam usia hidup
setiap manusia dalam perjalanan ke pintu maut
tapi kematian seorang berjasa lebih memberi erti
kerana kematian itu sendiri menyebabkan ia tidak mati
seperti sekarang kita menyebut-nyebut namanya, dan ia
telah menjelma menjadi bintang bersinar di langit zaman.

Usman Awang (1964)

Sajak diabadikan untuk Almarhum Prof. Zulkifli Muhammad (1927 - 1964).

Khamis, 31 Julai 2008

BELASUNGKAWA


Negara telah dikejutkan dengan pemergian S Othman Kelantan malam tadi akibat serangan jantung.Al-Fatihah.
(sumber :
http://usratika.blogspot.com/)

Latar Belakang Penulis
(sumber :
http://malay.rhythm.com.my/sOthman.asp)

Dilahirkan pada 13 November 1939 di Kelantan Darul Naim. Beliau mula menulis pada tahun 1953. Dalam dunia penulisan kreatif, beliau lebih dikenali dengan nama S. Othman Kelantan. Sehingga Disember 2000, Dr. Syed Othman telah menghasilkan sebanyak 175 buah cerpen. Antara novel beliau yang terkenal ialah Angin Timur Laut (1969), Juara (1976), Wajah Seorang Wanita (1990) dan Nagogho Astana (1997). Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia dan Cina. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1983 sebelum memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1995.

Dr. Syed Othman pernah menjadi guru (1952-1979). Tutor Bahasa Melayu USM pada tahun 1980-1983, pensyarah di UKM (1983-1996) dengan jawatan akhirnya sebagai Profesor Madya dan Karyawan/Pensyarah Tamu di Universiti Malaya (1997-1999). Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan. Kini beliau merupakan pensyarah di Institut Pujangga (Francais UUM) di Seri Kembangan, Selangor. Hasil daripada penglibatan dan sumbangan beliau dalam bidang penulisan kreatif, Dr. Syed Othman telah dianugerahkan S.E.A Write Award pada tahun 1990.

Daripada krew Lantera Jiwa : Moga-moga sorga lah di tanganmu... Tuhanlah disisimu...
AL-FATIHAH...